Skip to main content

Aku Anak Murid


“Kau nampak tangki besar kat belakang tu? ”

Taufiq menunjuk ke arah tangki besar di belakang asrama perempuan sambil berjalan menuju ke dewan makan dari bangunan akademik. Mereka berdua baru sahaja selesai latihan Pingpong.

“Apahal dengan tangki tu? Kau jangan nak cerita bukan-bukan lagi eh. Semalam aku tak dapat tidur, gila.”

Hahaha. Taufiq tergelak. Berjiwa singa konon. Pahlawan Melayu Melaka konon.

“Tangki tu... Legend je boleh panjat. ”

“Sape yang bangang nak panjat situ. Buat apa. Bukan ada faedah pon.” Syamil menjawab sambil mengerling ke arah tangki besar itu. Tinggi juga kalau dipandang betul-betul ni.

“Kita lah yang bangang. Nanti sebelum keluar sekolah, malam terakhir lepas habis paper last Biologi nanti kita panjat, ok?”

Syamil melepaskan keluhan sambil tersengih sambil menjawab: “Kau bodoh ke terlampau bijak ni?”

***

“Apa kebenda entah. Dah seminggu macam ni. Takde air. Pergi kolah nak mandi bagai. Tangki besar besar kat atas tu simpan apa entah. Ambil jerlah sedut air laut kat depan tu je pun.”

Syamil menyiku Taufiq yang membebel sengsorang sambil membuat latihan Add Math daripada Teacher Hafiza.

“Kau apa hal nak emo emo? Rileklah, orang lain pon takde air. Ni lah kenangan nak bawa keluar sekolah nanti, kau tahu.”

“Baju aku dah satu baldi dah penuh tu. Bila aku nak basuhnya. Nanti aku dah takde baju sekolah nak pakai, nak pergi sekolah pakai apa?”

Huh. Ni emo betul budak ni ni. Tension takde air ke sebab tak dapat jawab soalan tu. Aku tengok dari tadi soalan nombor 6 tak gerak-gerak dah sejam dari tadi.

Buat Add Math ni lagho. Buat soalan tiga pukul 10, siap soalan lima, angkat kepala tengok jam dah lagi setengah jam pukul 12. Perut pon dah berbunyi semacam waktu untuk makan tengah hari.

“Weh, jom balik makan. Harini makan ayam masak lomak cili api.” Chairil memanggil dari pintu belakang kelas. Dia datang dari  kelas sebelah.

Minggu ni minggu Outing pelajar perempuan. Jadi kelas aman dan senyap sikit berbanding minggu biasa. Maklumlah tiada suara nak bergosip macam makcik-makcik kampung. Tapi aku rasa yang kaki buat bising budak lelaki macam aku adalah. Dia tergelak sendirian.

“Dah kau kenapa? Gelak sorang-sorang tak ajak. Dah cepatlah kemas. Aku lapar. Harini makan ayam.”

Syamil mengemas buku-buku di atas mejanya dan memasukkan pensil dan pemadam ke dalam bekas pensil kainnya sebelum menzipnya kembali. Dia kemudian ke belakang kelas untuk mengambil buku teks Biologi untuk diulang kaji di asrama nanti sebelum memasukkannya ke dalam beg.

Chairil dan Wan telahpun menunggu di muka pintu kelas.

“Oi, cepatlah. Macam perempuan bersiap.” Mereka bertiga menjerit sambil melangkah pergi meninggalkan Syamil yang tergesa-gesa mencapai beg nya dan berlari untuk mendapatkan mereka.

***

Alamak ai. Mana pergi buku latihan ni tadi. Aku rasa aku dah bawak balik tadi.
Taufiq menyelongkar isi beg sekolahnya. Berulang-ulang kali  dia cek beg dan buku-bukunya dengan harapan secara ajaibnya buku itu akan muncul semula di hadapan matanya.

Alamak ai. Malasnya nak turun. Baru ingat nak tidur sekejap. Malam ni pulak hujung minggu, mana ada Prep malam.

Nak taknak, terpaksa Taufiq melangkah keluar dari Dorm Abu Bakar dan menyarung selipar asadi hitamnya itu.

“Weh, nak gi mana tu? Main bola tak ajak!” Jerit Chairil apabila Taufiq melintas di hadapan Dorm Usaimah terletak di hujung sebelum tangga itu.

“Buku aku tertinggal kat kelas.”

Dan apabila dia tiba di kelas 2 Abu Lubabah itu, ahli kelasnya, Hasanah sedang mengulangkaji pelajaran bersendirian. Dia pun melangkah masuk ke kelas seperti biasa tapi Hasanah yang perasan akan kehadirannya mula mengemas barang untuk pergi.

“Eh, takpe takpe. Aku nak ambil barang je sekejap. Kau duduk jela situ.”

Dan Hasanah kembali duduk di mejanya dengan niat untuk menyambung kembali Topik Endothermic Reaction yang baru dipelajarinya di kelas siang tadi.

Dan tiba-tiba datang Cikgu Raudah menyergah “Hah! Kamu buat apa berdua macam ni? Elok sangat.”

Dan Taufiq cuma menyambung mengemas barang seperti tiada apa yang berlaku. Tetapi Hasanah pula yang menggelabah dan cuba memperjelaskan situasi sebenar kepada Cikgu Raudah.

Terdengar suara Hasanah “Eh, tak cikgu. Tadi... ” Dan Cikgu Raudah berlalu pergi begitu sahaja setelah menjerkah pelajar berdua itu. Lebih kepada menjerkah Hasanah sebenarnya.

Dan terdengar suara Cikgu Raudah dari luar kelas memberitahu Cikgu Naimah “Hah tu Naimah. Awak tengok dalam kelas tu. Saya dah tegur tadi dia taknak dengar. ”

Taufiq cuma tersenyum dengan gelagat guru tersebut. Dan ketika dia hendak melangkah keluar dari kelas bersama bukunya ditangan sempat dia menegur Cikgu Naimah di pintu kelas.

Dari jauh dia terdengar Cikgu Naimah menegur lembut Hasanah. “Hasanah, awak buat apa berdua dalam kelas ni?”

Tak perlu kut Taufiq rasa untuk mempertahankan Hasanah. Mungkin nanti Cikgu Raudah akan fikir cuma sandiwara mereka. Harapnya penjelasan Hasanah diterima Cikgu Naimah dengan hati terbuka. Lagipun, Hasanah memang terkenal sebagai budak baik kat sekolah tu. Jauh di sudut hatinya, dia rasa bersalah kerana membiarkan sahaja Hasanah terkial-kial menajwab pertuduhan itu.

Tapi tetap Taufiq merasakan perbuatan Cikgu Raudah yang berlalu tanpa cuba mendengar penjelasan Hasanah sebagai kurang sopan. Cikgu Raudah memang lah ada hak untuk menegur dan memanglah situasi seperti itu mencurigakan tetapi Cikgu Raudah juga tidak perlu bertindak memarahi melulu seperti itu.

Lagipun ni kan sekolah yang para pelajarnya menghafal Al-Quran. Guru juga perlu menunjukkan contoh kepada para pelajar dan menasihati pelajar dengan baik. Bukan sekali dia mendengar para guru berborak tentang masalah para pelajar dan membuka aib pelajar di hadapan guru lain.

Nanti bila aku jadi seorang guru, aku akan belajar dari kesalahan para guruku dan berazam untuk tidak melakukan yang sama lagi.

Setiba di katilnya dia segera meletakkan kepala di atas bantal. Kejadian petang tadi membuatkan dia seolah ingin memberontak. Kejadian petang tadi cumalah catalyst kepada banyak peristiwa sebelum ini.

Teringat dia apabila Bazli tidak dipilih untuk mewakili sekolah dalam Pidato sedangkan semua tahu bahawa dia berbakat dalam bidang tu. Ustazah Lina telah memilih pelajar kegemarannya untuk bertanding. Memanglah Firdaus petah berbicara dan ternyata Firdaus juga berjaya mengharumkan nama sekolah ke peringkat negeri tetapi Bazli lagi hebat dalam melontarkan idea bernas dalam masa yang singkat. Cumanya Bazli tidak mendapat peluang untuk mengetengahkan bakatnya itu.

Dan semua orang tertanya-tanya kenapa Rifqi tidak terpilih untuk menjadi Pengawas Sekolah walaupun  sudah terang lagi bersuluh dia juga layak seperti kebanyakan pengawas yang lain. Bila Taufiq bertanyakan kepada Rifqi tentang perkara ini, Rifqi mudah menjawab bukan rezeki aku. Tapi semua orang tahu kenapa Rifqi tidak terpilih walau namanya kerap dicalonkan ketika mesyuarat. Kerana Guru Disiplin sekolah itu tidak suka kepada Rifqi. Rifqi bukanlah orang yang banyak bercakap dan dia tidak pandai mengambil hati guru dengan kata-katanya. Rifqi juga selalu memohon untuk balik hujung minggu disebabkan masalah kesihatan dan program di luar.

“Taufiq! Ustaz Karim nak jumpa kau depan Musolla sekarang!” Terdengar suara Syamil menjerit dari tingkat satu.

Dia bergegas mencapai kopiah dan Al-Quran nya di atas almari dan berlari turun. Alamak, matilah aku aku tak hafal lagi muka surat baru.

***

“Macam tulah kisah Imam Syafie menghormati seorang guru. So, ustaz nak awak semua jadikan Imam Syafie sebagai contoh jugak. Ustaz tengok sekolah sekolah luar lagi nakal dari awak semua. Awak sebagai orang yang menghafaz Al-Quran, ustaz taknak awak macam tu.”

Taufiq cuma tersengih memandang guru Al-Quran nya itu. Mereka duduk di meja bulat di  hadapan dewan makan lelaki itu mengelilingi Ustaz Karim.

Ustaz Karim adalah guru Al-Quran nya sejak  tahun lepas. Ustaz sangat rajin datang ke sekolah semata-mata nak menjenguk anak didik halaqah tujuhnya. Seperti sekarang, Ustaz datang pada petang Khamis dengan membawa masakan isterinya untuk dijamu bersama anak didiknya. Ustaz selalu, jika berpeluang dan ada masa berbaki sebelum kelas Al-Quran tamat, akan menyampaikan sedikit tazkirah peringatan buat anak didiknya.

Seperti seorang ayah yang boleh  diajak berbincang dan mengadu masalah, Ustaz Karim sangat mengambil berat perihal pelajarnya, bukan sahaja ahli halaqahnya bahkan semua. Ustaz Karim juga seperti seorang abang yang boleh diajak bercanda gurau, malah rajin turun ke padang petang petang untuk bermain bola bersama pelajar lain.

Namun ketegasannya juga menjadi buah mulut para pelajar. Kalau Ustaz Karim menjerit memanggil pelajar lelaki untuk turun ke musolla, pelajar perempuan di sebalik tabir juga boleh terdiam kerana gerun. Pada waktu Maghrib Ustaz Karim dan rotan tidak dapat dipisahkan. Mengejar pelajar yang dengan sengaja keluar dari Musolla untuk berborak dan bemain sedangkan waktu Maghrib-Isya’ adalah waktu untuk menghafal hafazan baru.

Kadang-kadang kelakar juga apabila teringat kenakalan pelajar di sini. Semalam satu Musolla tergelak lucu apabila mendengar Ustaz Karim menjerit:
“Ni ‘pediye’ pulok hok bahang lipa aku ni. Baik mu pulang balik sekarang. Ustaz kira sampai tiga! Satu! Dua! Tiga! Kalu Ustaz naik ‘kekgi’, Ustaz ‘jupe’ piye hok amik tu, siap ah dia.”

* Ni siapa dia pulak yang ambil selipar aku ni. Baik kau pulangkan balik sekarang. Ustaz kira sampai tiga! Satu! Dua! Tiga! Kalau Ustaz naik (ke kawasan dorm) kejap lagi, Ustaz jumpa siapa yang ambil tu, habis lah dia.”

Tulah pelajar lelaki. Barang orang lain buat harta sendiri. Sampai tak reti nak beza selipar guru dan pelajar.

“Tapi Ustaz, macam mana kalau guru tu salah?” Soal Taufiq tiba-tiba. Semua mata tertumpu kepada Taufiq sekarang.

“Sebab tu awak kena ingat, guru ni cuma manusia. Kalau guru tu salah, berani nak tegur, tegur. Kalau tak maafkan jerlah kalau perbuatan guru tu tersilap caturan dan sebagainya. Berkat seorang guru tu awak tak boleh nak nafi. Dia sumber ilmu awak. Siapa awak sekarang, apa yang awak tahu semua bergantung kepada guru awak. Sebab tu kena jaga hati seorang guru. Kena muliakan guru. Berkat seorang cikgu tu. Doa seorang guru yang awak semua perlukan.”

Ustaz Karim memandang Taufiq sambil tersenyum.

“Hatta ada orang sampai cakap, kalau guru tu salah sekalipun, guru tu tetap betul. Dah dah. Jom makan. Sejuk lauk isteri Ustaz masak tu. Kejap lagi nak kena masuk musolla pulak.”

***

Hati keras Taufiq mula lembut mendengar nasihat Ustaz Karim. Lagipun dia fikir tidak perlu dia memandang dan fokus perkara yang kurang elok kerana matanya nanti akan nampak cuma yang buruk-buruk. Mungkin apabila dia cuba berhenti melihat kesalahan guru dan fokus kepada apa pengorbanan guru mereka, dia akan lebih menghargai kerjaya guru yang banyak cabarannya itu.

Yerlah, berurusan dengan beratus pelajar dengan pelbagai kerenah bukannya mudah. Berusaha untuk mendidik mereka dan menyayangi pelajar-pelajar seperti anak mereka sendiri, bahkan berkorban masa dan tenaga pada hujung minggu dan luar waktu persekolahan cuma untuk melihat perkembangan dan memberi sokongan kepada pelajar juga merupakan perbuatan mulia.

Ya, baiklah! Mulai harini aku lepaskan semua dendam atau perkara yang tidak aku puas hati dengan guru-guru. Lagipun, apalah sumbangan aku berbanding mereka. Bahkan siapalah aku sekarang tanpa mereka. Dan bukan dengan guru sahaja, tapi juga dengan semua manusia yang lain aku akan memilih sikap berlapang dada dari memberontak sebegini rupa.

Taufiq yang sedang berbaring dikatil asrama itu membawa tangan kirinya kebelakang kepala untuk dibuat bantal sambil tersenyum lega. Dia dapat merasakan hatinya kini lebih ringan dan seperti banyak ruang, tidak sesak dan begelora seperti dahulu.

Pap! Sebuah bantal singgah tepat di bahagian kanan mukanya.

“Kau da ada awek cakap! Senyum sorang sorang macam angau ape kena?”

Taufiq mengambil bantal bersampul biru itu dan membalingnya semula ke arah Chairil tapi sempat ditangkap kemas pemain Pasukan Bola Baling sekolah itu. Chairil tergelak besar di hujung meja belajar selepas puas mengusik sahabat baiknya itu.

“Kacaulah kau.”

***

Itu cerita tiga tahun lepas. Sekarang Taufiq telah meninggalkan alam persekolahan dan berada di zaman kolej pula. Dengan rezeki Tajaan JPA, dia berjaya mendapat tempat untuk menyambung pelajarannya ke luar negara tetapi terlebih dulu perlu membuat persediaan di ebuah kolej swasta.

Mungkin apa yang berlaku waktu zaman persekolahan dulu banyak mengajar Taufiq dan mematangkan pemikirannya. Itulah bekalan Taufiq untuk menempuh dunia baru tanpa pengawasan guru, peraturan asrama, jadual waktu dan pengawas lagi.

Taufiq telah belajar untuk melepaskan dan tidak menyimpan sebarang perkara di dalam hatinya. Kebanyakan apa yang berlaku Taufiq Cuma pandang endah dan tidak mengambil hati. Tidak keterlaluan rasanya kalau dikatakan Taufiq telah belajar untuk mengeraskan hati dan mencekalkan diri.

Mungkin kerana itulah, apabila dia dimarahi tanpa sebab oleh Pensyarah Kimia nya itu, dia cuma tergelak dan tersenyum. Geram kadang-kadang singgah juga barang seminit dua, tapi cepat Taufiq melepaskan pergi. Yang penting bagi Taufiq, dia tahu dia tidak buat salah. Walaupun sejak pertama kali ujian bulanan Kertas Kimianya itu teruk, Pensyarah Kimia itu seakan-akan melihat dia sebagai target. Semua tingkah laku Taufiq tidak kena pada mata pensyarah itu. Tetapi Taufiq tidak simpan dalam hati dan dia memandang perkara yang lebih penting dan serius. Itu belum cerita kisah pilih kasih dan sebagainya. 

Tapi Taufiq ada jalan cerita sendiri. Jalan cerita yang lebih indah untuk dia berikan perhatian dan bersyukur dengan apa dia ada. Cumanya terkadang dia bersimpati dengan nasib kawan-kawannya yang mendapat layanan kurang adil itu. Cerita kawannya tentang layanan Pensyarah Bahasa Inggeris yang melayannya seolah-olah dia tidak wujud di dalam kelas itu cukup membuat dia bersimpati.

Bagi Taufiq bukan kerana dia seorang guru ataupun pensyarah, tapi kerana kita semua manusia yang ada hati dan rasa. Bagaimana kalau kita dilayan sebegitu rupa? Bagaimana kalau kita disisihkan hanya kerana kita lambat belajar? Atau bagaimana rasanya kita diejek dan dipandang sebelah mata hanya kerana kita memberitahu mereka bahawa bapa kita seorang pekerja kilang. 

Taufiq tahu bukan semua orang begitu. Bukan semua guru begitu. Bahkan dia memandang mulia kerja guru. Gurulah yang telah banyak membantu dan mendidiknya sejak dia masuk ke asrama. Bahkan banyak masa terluang habis di sekolah bersama guru dan bukan ibubapa mereka. Nasib Taufiq bukannya selalu malang. Buktinya Taufiq masih berhubung akrab dengan guru-guru sekolahnya biarpun dia telah lama habis zaman persekolahan. Dan kalau Taufiq cuba mengingat kembali, pengalaman dia dengan guru-guru yang baik, penyayang, mengambil berat hal pelajar lebih banyak daripada pengalaman kurang manis.

Taufiq sentiasa ingat pesan Ibu dan para guru yang telah banyak mendidiknya. Dan apa yang telah berlaku dalam kehidupannya juga telah dia jadikan iktibar. Dia percaya jika dia simpan sesuatu perkara itu dalam hati, perkara itu satu masa akan melukai hatinya. Jika dia letak di luar di tempat mereka, mungkin hatinya tak akan cedera teruk seperti satu ketika dahulu. Lagipun, sejarah dari dulu lagi menekankan berkat seorang guru. Kisah bagaimana akhlak para Ulama‘ dahulu dengan Murabbi mereka yang sering diceritakan Ustaz-Ustazah waktu dia masih bersekolah dulu masih segar dalam ingatan Taufiq. Taufiq berhak memilih dan dia memilih apa yang dia percaya lebih baik untuk dirinya sendiri. 

Dan Taufiq memilih untuk merendah diri kerana dia percaya, dia cuma anak murid yang takkan pergi kemana kalau cuba menderhaka. Kerana dia anak murid yang berguru untuk mendapatkan ilmu dan kerana dia anak murid yang belajar adab dengan guru. Kalau mereka yang pergi menuntut ilmu menemui ajal ketika dalam perjalanan, matinya itu dikira syahid dan diberi ganjaran syurga, cuba bayangkan perjalanan seorang yang dalam perjalanan ingin menyampaikan ilmu pula.


P/s: Guru-guru saya adalah guru terbaik yang sentiasa memberikan segala yang terbaik untuk anak muridnya. Cerita hanya rekaan dan imaginasi hasil tokok tambah pengalaman sendiri dan orang lain. Saya tidak pernah memandang rendah, remeh atau enteng kerjaya guru atau seorang guru. Bahkan saya membesar sebagai anak kepada seorang guru. Cerita di atas bukan ingin memburuk-burukkan guru. Sekali lagi saya tekankan, tanpa guru sekarang, siapalah kita.



Comments

Popular posts from this blog

Naruto Shippuden

I know I supposed to quote from the GREATEST BOOK, but it seems that it's okay to just make it fun to quote from Naruto. (Naruto Goes to War) -Sorry I’m late. I got lost on the road of life. Hatake Kakashi~ -Those who betray ninja rules are trash… but those who betray their comrades are worse than trash. Uchiha Obito~ -To know what is right and choose to ignore it is the act of a coward. Hatake Kakashi~ -A hero always arrives late. Uzumaki Naruto~ -There’s no meaning to a flower unless it blooms. Ino Yamanaka~ -So shut up about “destiny” and “inescapable fate”….You shouldn’t whine about such trivial stuff! Cause… unlike me… you’re not a “FAILURE.” Uzumaki Naruto~ -A dropout will beat a genius through hard work. Rock Lee~ -I am strong because I have people to protect. Uzumaki Naruto~ -In order to escape a road of solitude, one has to work hard, and forge a new path with their own power!. Sabakuno Gaara~ -When people are pr...

KISAH AIR KELUAR DI CELAH-CELAH JARI NABI MUHAMMAD S.A.W

Anas Bin Malik r.a telah menceritakan bahawa satu ketika semasa berada di Zaura’,Baginda telah menyuruh para sahabat berwudhu’ dengan air yang sedikit.             Ini berlaku setelah Baginda s.a.w meletakkan tapak tangan Baginda dalam air itu,maka dengan tiba-tiba air memancar deras dari celah-celah jari Baginda.Kejadian itu berlarutan sehinggalah mereka selesai berwudhu’.                 (Riwayat Muslim no. 6082 dan al-Baihaqi dalam al-Dalail,6/136)               Dalam riwayat lain,daripada Abdillah,dia berkata, “Ketika kami dalam perjalanan bersama Rasulullah,kami telah kehabisan air.Rasulullah bertanya, “Siapakah dalam kalangan kamu memiliki air?’ Setelah kami menemui orangnya kami menyerahkan air itu kepada NAbi Muhammad s.a.w.Air itu kemudian dicurahkan oleh Baginda ke dalam wadah itu....

A Glimpse of My 2019

2019 was so full of hatred, anger and bitterness that I almost couldn't afford to stay calm and be patient all the time. This also leads me to cut off a couple of relationships. See, when you fill yourself with negative energy, you are not capable to neutralize them anymore when people throwing them at you. Instead, the negative energy within you will either be charged or triggered by those toxic people. I couldn't deal with the source of pain that caused me anger, hatred and bitterness at the moment no matter how hard I try. But I couldn't afford myself to stay angry all the time. So, I distant myself from them. Those who are dishonest hypocrites, condescending, manipulative and sarcastic jerks. I try to ignore the sarcasm, the lie and the acting by pretending I don't understand or know nothing about it. But here's the thing: I always know. I just don't really care. They don't hurt me but I don't want their toxic words and behavior to fuel the fire I ...