Ujian datang dalam pelbagai bentuk. Ujian dengan nafsu makan contohnya. Atau ujian dalam persahabatan. Atau ujian dengan pembelajaran. Ujian dengan manusia. Ujian dengan diri sendiri. Ujian dengan kesihatan. Ujian demi ujian tidak akan pernah gagal untuk hadir menyapa dalam kehidupan. Ibarat orang selalu kata: apalah sangat hidup yang tiada 'naik turun'.
Kadang-kadang ada orang sedar yang dia sedang diduga. Biasanya apabila dugaan itu datang dalam bentuk yang perit dan sakit. Kadang-kadang ada orang dia tidak sedar yang dia sebenarnya sedang diuji. Contohnya ketika harta melimpah ruah. Atau ketika nama mula meniti di bibir-bibir orang. Acap kali kita ralit dengan kesenangan yang Tuhan pinjamkan, sehingga ada waktu kita lupa untuk menikmati. Bahkan amat sayang sekali kalau gagal untuk disyukuri.
Hakikatnya, ujianlah yang mendewasakan kita. Kita belajar dari pengalaman jatuh bangun, suka duka, mudah sukar sesuatu perkara. Supaya kita tidak akan mengulangi kesilapan yang sama untuk kali kedua, Bagaimana? Dengan belajar. Kita belajar dari pengalaman yang boleh dikumpul hanya dengan melaluinya. Ada orang belajar dengan terpaksa mengharungi pelbagai jerih, perih, sakit, kecewa dan bertahan sehingga kaki di garisan penamat. Ada orang yang belajar dengan mudah tanpa sedikit pun perlu merembeskan peluh lelah. Seperti orang yang cuma belajar dari pengalaman orang lain.
Dan kita yang mengaku diri sebagai seorang pejuang tidak layak sesekali untuk mengibarkan bendera putih walaupun badan sudah berbirat dirotan kehidupan. Kerana seorang pejuang adalah orang yang bersifat gigih dan tetap teguh pendirian mereka. Mereka berpegang teguh dengan apa yang mereka fikir.
Maka amat berbahagialah mereka yang berpegang dengan janji-janji Allah. Allah telah berjanji bahawa selepas kesukaran akan datang kesenangan. Allah berjanji mereka yang menolong agama Allah, Allah akan menolong mereka. Allah berjanji Allah bersama mereka yang sabar. Allah berjanji untuk menambahkan lagi bagi siapa yang bersyukur. Dan Allah berjanji untuk memberi jalan keluar bagi mereka yang bertakwa. Janji-janji Allah inilah yang melapangkan dada dan menghidupkan kembali harapan yang layu di jiwa.
Wahai Para Mujahid, bersabarlah dengan ujian yang datang dari Tuhan. Kerana itu adalah cara untuk melatihmu supaya berjiwa besar. Untuk mempersiapkan dirimu memperjuangkan kebenaran. Tidak, Tuhan tidak zalim. Dia tidak akan mengujimu di luar kemampuanmu. Cuma engkau yang tidak sedar bahawa engkau adalah lebih dari apa yang engkau fikirkan.
Dan bila dunia terasa semakin memberat dibahumu, lepaskanlah. Berehatlah. Tapi bukan berhenti dan menyerah kalah. Rehatkanlah jiwa dan badanmu, adukanlah kepada Tuhan tentang bebanmu. Sungguh Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan susah yang engkau alami. Kerana setakat sejarah menjadi saksi, tiada sesal untuk mereka yang terus melangkah, tapi sesal itu menghantui mereka yang menyerah kalah.
Terus kuat sahabat kerana bersamamu doa-doa yang ditembak dari pelbagai arah. Engkau insan yang berhati mulia yang mendapat tempat di kalangan manusia dan malaikat. Jika engkau sakit, semoga Allah memberimu kesembuhan. Jika engkau dalam keadaan sukar, semoga Allah mempermudahkan urusan. Jika engkau buntu, semoga Allah menunjukkan jalan.
Comments
Post a Comment