Wahai sahabat yang telah dimuliakan Allah.Sedarkah kalian sudah berapa lama darjat anda ditinggikan Allah sejak anda ditakdirkan untuk berada di bumi Imtiaz.Darjat anda sebagai hamba yang membawa Kalamullah dalam dada.Dan bagaimana anda menjaga dan menghargai Al-Quran.
Sahabat sekalian,ingatkah kamu akan Kisah Kekasih Allah yang mulia,Nabi Muhammad s.a.w dan sahabatnya Saidina Abu Bakar ketika dalam perjalanan ke Madinah,berhijrah atas perintah Allah.Saidina Abu Bakar berasa sedih dan gelisah kerana ancaman yang berturut-turut datang dari Kaum Quraisy.Lalu,Nabi Muhammad s.a.w mententeramkan sahabat baginda dengan berkata “Janganlah kamu bersedih hati,Sesungguhnya Allah bersama kita.Lihatlah betapa kukuhnya persahabatan mereka.Mana mungkin ukhuwwah kita menyaingi persahabatan mereka,persahabatan para sahabat yang dicintai Allah kerna fikrah mereka jelas.Tujuan mereka sama,iaitu ila mardhotillah.
Mukaddimah yang panjang untuk satu peringatan yang penting.Sebagai seorang sahabat,kita pernah mendengar kata-kata yang berbunyi “Seorang sahabat yang baik itu akan selalu mengajak sahabatnya bersekongkol dalam merebut rahmat dan janji Allah.Mereka tidak akan mengajak ke arah kemungkaran dan sentiasa menegakkan kebenaran.”Perhatikanlah cirri-ciri sahabat yang baik.Adakah anda tergolong dalam kalangan itu?
Bukanlah niat saya untuk memperbahaskan mengenai ukhuwwah atau sahabat,akan tetapi sempena kehadiran bulan yang paling dirindui ini,yang entah sudah berapa kali singgah sepanjang kita hidup di atas muka bumi ini sebagai Khalifah Allah,ingin saya memperingatkan kita semua tentang peranan seorang sahabat dan muslim dalam Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar,dalam memandu jalan mereka yang hampir terbabas agar kembali semula ke jalan yang diredhai Allah.
Sahabat sekalian,sedarkah kalian sekarang bulan apa?Sedarkah kalian bahawa syaitan sudah dibelenggu,jadi apa lagi yang menghalang kalian untuk beribadat dan meninggalkan maksiat?Itulah nafsu,hasil pentarbiahan si syaitan laknatullah ‘alaihum selama beberapa bulan.Sedarkah kalian mungkin ini kali terakhir anda menjejakkan kaki ke dalam bulan Ramadhan dan mungkin juga anda tidak sempat sampai ke penghujungnya.Ya,semua itu tidak mustahil.Tahukah kalian bilakah Malaikat Izrail akan menjemput kalian.Tidak,bukan??Akan tetapi,kalian sedia maklum bahawa,mati itu tak mengenal waktu,tempat dan umur.Apakah kalian fikir bahawa ketika usia sebegini muda kerja kalian ialah ‘enjoy my life’Binasalah kalian dan berbahagialah syaitan kerana dapat melihat anak Adam rosak ditelan zaman.
Ramadhan adalah titik tolak penggerak untuk kita berubah dan istiqamah dalam perbuatan dan amalan.Bukanlah sekadar berebut rahmat dan keampunan,dan kemudian bila tamatnya Ramadhan kita kembali ke ‘pangkal jalan’,jalan hidup yang penuh dengan kefoya-foyaan,suka-ria dan lalai sentiasa.Wahai Umat Muhammad,sedarkah kamu kita sentiasa diberi kelebihan yang mana tidak diberikan kepada umat Nabi lain.Lima perkara yang Alah hadiahkan kepada Umat kekasihNya.
ü Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah.
ü Segala perbelanjaan dan derita lapar semasa berpuasa baginya syurga.
ü Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam LailatulQadr.
ü Amalan yang dilakukan pada Bulan Ramadhan digandakan kepada 10 hingga 700 kali melainkan puasa,maka puasa itu untuk Allah dan balasannya adalah kuasa untuk melawan hawa nafsu syahwat.
ü Dikurniakan kepada mereka keseronokan ketika berbuka dan ketika berjumpa dengan Allah,Rabbul Jalil nanti.
Ayuh,Kalian!!Masih adakah janji yang sebegitu ketika di bulan Muharram,Rabiul Awal atau bulan-bulan lain.Kita mahu diberkati di Bulan penuh Barakah atau kita mahu dimurkai?
Sombonglah kalian sekiranya kalian tidak mahu tergolong dalam golongan yang mengharapkan keampunan setelah hari-hari kamu dipenuhi dengan dosa.Sombonglah kalian sekiranya kalian tidak meninggalkan tilam dan bantal untuk berjumpa dengan Allah.Sombonglah kalian sekiranya kalian malu untuk menangis dan mengaku akan silap kalian sepanjang kalian hidup.
Kalian bilang cinta Allah.Kalian bilang kalian sayang Rasulullah.Akan tetapi Ramadhan kalian suram dan kelam tanpa tarawih dan tahajud.Ramadhan kalian ceria dengan pinggan yang penuh dengan juadah melampaui batasan sewaktu berbuka.Ramadhan kalian tidak bernyawa tanpa tadarus dan tadabbur Al-Quran.Ketawalah syaitan seriang-riangnya kerana melihat kalian.
Ayuh!!Marilah kita bersama,bergabung tenaga menghidupkan Ramadhan agar alam ini bergema dengan bacaan Al-Quran tanpa henti.Marilah kita termasuk dalam golongan yang Berjaya bukan yang rugi serugi-ruginya.Golongan yang diampuni bukan yang dimurkai.Golongan yang diberkati dan yang dicurahkan rahmat.Golongan yang mendapat tiket ke syurga bukan ke neraka.
Anggaplah Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terakhir untuk kita.Nescaya kita akan bersemangat untuk menyiapkan diri berjumpa dengan Allah Taala.Mahukah kita dijemput masuk ke syurga melalui pintu Ar-Rayyan,iaitu pintu yang dikhususkan untuk orang-orang yang berpuasa.
Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sehingga terbenam matahari.Ramadhan lebih dari itu.Maka,peliharalah puasa kalian kerana kita takut sekiranya yang kita dapat cumalah lapar dan dahaga.Bukalah mata dan pintu hati kalian ke jalan Allah.
Moga-moga Ramadhan kali ini akan membawa kita lebih mengenali Sang Khaliq dan mendapat cinta dan rahmat dariNya.
Comments
Post a Comment