Buat adik abang
yang abang sayang,
Abang nak adik
tahu abang sayang adik walau abang tak pernah bagitahu adik. Abang nak adik
tahu abang bangga jadi abang adik. Abang nak adik tahu adik lah penyeri
keluarga kami.
Abang tak pernah
minta maaf bila abang gagal banyak perkara. Abang memang seorang pelajar
cemerlang, tapi cemerlang abang hanya akademik sahaja. Abang gagal mengawal
emosi abang. Abang gagal mengetepikan keinginan abang dan mendahulukan apa yang
lebih utama. Abang pentingkan diri dan hanya tahu melarikan diri.
Abang nak adik
tahu banyak perkara yang abang masih sesal sampai sekarang. Abang masih sesal
apabila abang menghalang adik hadir untuk pemilihan bola sepak waktu sekolah
rendah dahulu. Sebenarnya abang takut. Abang takut populariti abang dirampas.
Abang takut posisi abang sebagai penyarang akan bertukar ke pemain tengah
sahaja. Abang masih simpan rasa sesal itu sehingga sekarang. Abang masih ingat
bila abang pulang menaiki basikal pra-latihan sebelum pemilihan, adik menangis
depan emak dan cuma berlalu pergi tanpa sepatah kata apabila adik nampak abang.
Emak telah memarahi abang kerana berperangai jelek. Tapi waktu tu abang tidak
peduli. Bagi abang, abang yang betul dan itu hak abang.
Buat adik abang
yang satu-satunya adik abang,
Abang sentiasa
meminta adik berkorban kerana adik anak bongsu. Abang fikir tempat adik di
rumah bersama emak. Abang lupa adik juga punya cita-cita yang adik ingin
gapai. Abang lupa adik juga hendak berjaya seperti abang. Abang sibuk memberi
contoh yang baik dalam bidang akademik tapi abang sendiri mementingkan diri dan
melepaskan diri.
Abang telah keluar dari rumah semenjak abang berusia 13
tahun lagi. Dan sejak hari pertama abang masuk asrama, sehingga abang masuk
kolej dan sehingga abang masuk Unversiti, adik sentiasa ada untuk mengangkat
barang abang. Adik tahu abang sakit dan abang tahu adik lagi kuat dari abang. Adik angkat barang-barang berat abang dari
tingkat satu sampai tingkat atas. Bukan sekali adik merungut dan abang hanya
akan tertawa. Emak akan selalu mengingatkan budi adik kepada abang.
Mengingatkan abang untuk menjaga adik kalau emak sudah tiada.
Dan sejak abang masuk asrama, perangai abang semakin
menjadi-menjadi. Abang terpengaruh dengan kawan. Abang memilih kawan daripada
keluarga. Apa sahaja keputusan abang, abang ingin dipandang tinggi dan menjadi
sebutan di bibir pelajar. Lagi teruk bila abang mula jatuh cinta. Abang masih
ingat abang telah membuat adik dan emak menunggu hampir sejam menanti abang
sedangkan abang pergi berdating dengan kekasih abang. Sebab abang jatuh cinta,
buat pertama kalinya abang memarahi emak. Dan pertama kali itu bukan yang
terakhir kali. Abang masih ingat abang tidak pulang bermalam ketika hampir
semua pelajar lain pulang bermalam kerana ingin membuktikan kepada kekasih
abang yang abang tidak manja., biarpun emak memujuk berulang kali untuk pulang.
Abang sanggup pulang ke asrama awal untuk menunggu kekasih abang balik. Begitu seorang abang yang gagal.
Buat adik abang
hadiah terindah dari Tuhan,
Tidak perlu rasanya abang ceritakan semula bagaimana abang
tersedar yang abang telah banyak membuat silap. Dan adik juga tidak perlu tahu
betapa banyak air mata abang yang tumpah setiap kali abang teringat semua dosa
abang. Betapa kesalnya abang kerana tidak memanfaatkan masa yang Tuhan bagi
untuk berbakti dan menghargai adik dan emak. Dan sehingga saat ini abang masih
berusaha untuk menebus silap abang.
Silap abang sebab abang hanya nampak salah emak dan adik.
Silap abang bila abang asyik berdendam dengan emak dan adik. Silap abang bila
asyik fikir yang emak selalu lebihkan adik. Adik tahu, tak guna jadi orang
pandai macam abang kalau perkara kecil macam ni pun abang gagal.
Buat adik abang
yang sekarang abang sayang lebih dari diri abang sendiri,
Mungkin berkat
doa emak selama ni abang balik ke pangkal jalan. Mungkin kerana doa adik selama
ini abang banyak berjanji dengan diri abang untuk jaga adik sepanjang hayat. Dan
sekarang abang ada satu cita paling atas dalam hidup. Abang harap kita
sekeluarga berkumpul kembali di taman Syurga nanti. Abang sekarang belajar
dengan harapan nanti abang dapat kerja bagus, kita semua dah tak payah risau
pasal duit. Dapat bercuti satu keluarga. Abang bawak ke mana je adik nak pergi.
Abang bagi apa je yang adik mintak. Dengan izin Allah satu hari nanti.
Sebab abang bangga dengan adik. Abang bangga bila adik
berani sebab adik benar. Abang bangga bila adik lagi matang dari abang. Abang
bangga bila adik berlari sambut emak yang baru pulang dari bendang. Abang
bangga bila adik tahu menjaga diri. Abang bangga bila adik lagi pandai mengaji
dari abang. Dan abang bangga bila adik beritahu abang apa yang abang buat salah.
Abang bangga dik. Abang bersyukur dapat adik macam adik. Abang bersyukur sebab ada adik untuk sentiasa
berada di sisi emak. Abang tahu adik dah membesar dengan baik. Sebab adik,abang tak sentuh rokok tu. Kalau tidak entah berapa ratus ribu ringgit dah abang akan habiskan sepanjang hayat.
Mungkin bagi
adik, adik dapat buat emak bangga
dengan keputusan adik dalam
pelajaran. Tapi abang dan emak tahu yang sebenarnya kami sangat bersyukur dapat
adik. Adik membesar dalam pelbagai kepayahan. Adik turun sebelum matahari naik
untuk menoreh mencari duit bekal. Adik ada semangat kental untuk melindungi
hati adik yang lembut itu. Adik pendam segalanya dengan mulut adik yang
menceriakan kami itu. Dan setiap kali abang teringat yang abang tidak mampu
berbuat apa dengan segala kesedihan adik tu, abang akan menangis. Abang harap
sangat sekiranya kesedihan yang bersarang di dada adik tu dapat diangkat, beban
yang adik pendam dapat dipindah ke bahu abang kerana abang yang sepatutnya
menggalas semua itu. Bukan adik. Kerana adik, adik yang abang sayang dan kerana
abang seorang abang. Dan itulah yang perlu dilakukan selaku abang.
Tapi adik, adik
lah yang setia di rumah menemani emak. Semua peristiwa yang berlaku di rumah yang
abang terlepas, adik setia bersama emak dalam badai dan hujan. Walaupun ketika
detik adik dan emak memerlukan abang di rumah, abang tiada kerana abang tidak
tahu. Walaupun jika abang ada pada waktu itu pun abang tidak mampu berbuat apa,
tapi setidaknya sepatutnya abang bersama adik dan emak. Walaupun dengan kudrat
abang, abang tahu abang tidak akan mampu melindungi adik dan emak, tapi
sekurangnya biarlah abang bersama adik dan emak mengharungi segalanya. Namun
Allah lebih berkehendak dan mengetahui segalanya ketika itu. Abang juga tidak
salahkan adik sebab tidak memanggil abang balik. Adik masih mentah tidak tahu
apa dan bagaimana seharusnya dilakukan.
Buat adik abang
yang abang sangat rindukan,
Banyak janji abang yang abang tak dapat tunaikan. Abang
pernah berjanji tak akan tinggalkan adik lagi. Dan sekarang sekali lagi abang
tinggalkan adik dan emak untuk mengejar cita-cita abang. Banyak moment yang
abang terlepas nak celebrate bersama adik. Abang minta maaf dik. Abang anak sulung dan abang menggunakan alasan ni
sekali lagi.
Tapi abang nak
adik terus kuat. Adik tak bodoh. Jangan biar apa orang kata kuasai fikiran
adik. Setiap orang berbakat dalam bidang tertentu. Apatah lagi adik. Sebab adik
istimewa dan mereka terlalu buta untuk menilainya, mereka telah menyukarkan
kehidupan adik. Dan abang sekali lagi hanya mampu melihat adik menangis dan
membiarkan adik menghadapi sendiri jalan hidup adik.
Adik, bina
keyakinan adik balik. Saat ni semua orang sama. Ingat tak cerita Naruto
yang kita selalu tengok sama-sama dahulu? Kerja keras sentiasa akan membuahkan
hasil. Yang penting adalah takkan pernah berputus asa. Sesusah mana pon cabaran
tu, kita kena cekal dan terus melangkah. Adik, adik pernah ajar abang yang
Allah takkan meninggalkan hamba-hambaNya bukan? Adik, orang macam adik ni ramai
yang mendoakan adik. Akademik tanpa akhlak tak tahan lama dik. Dan akademik
bukan segalanya.
Buat adik abang yang jauh di mata dekat di hati,
Doa abang
sentiasa ada nama adik. Dulu abang nak berjaya sorang-sorang. Tapi sekarang
abang nak adik juga berjaya macam abang. Adik boleh sebab adik adik abang.
Sehingga ada rezeki lagi, satu hari nanti kita akan bertemu lagi. Tapi sehingga
itu, sehingga jalan kita bertembung lagi, terus kuat seperti mana adik sentiasa
jadi. Abang doakan semoga jalan adik dipermudahkan Allah, dilindungi Allah dan
diredhai Allah.
P/s:
Doakan abang dapat habiskan PhD abang di sini dengan cepat.
Tulus ikhlas,
dari abangmu yang
membesar separuh hidupnya dengan mu.
abang mane ni :3
ReplyDeletegood
ReplyDeletecome visit my blog : http://najwazahid94.blogspot.my/